Monday, December 22, 2008

Siswazah Wanita Ceburi Ternakan Itik

Oleh Mohamad Bakri Darus

JASIN, 18 Dis(Bernama) -- Antara bekerja di bilik berhawa dingin dan berpanas terik di bawah matahari, seorang siswazah menolak keselesaan di pejabat dengan menceburi bidang ternakan itik.

Elly Yuza Mahmud, 24, pemegang ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, percaya aktiviti ternakan itik mempunyai masa depan yang cerah dan menjanjikan pulangan lumayan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Beliau bertekad untuk berdikari selepas menyaksikan kejayaan usahawan yang menternak itik secara kormesil di negara ini.

"Saya pernah menjalani latihan menternak itik selama seminggu di ladang ternakan itik di Taiping, Perak yang mempunyai ternakan kira-kira 320,000 ekor. Saya belajar bagaimana memelihara itik kecil sehingga itik mengeluarkan hasil (bertelur)," katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang ternakan itik beliau di Kesang Pajak dekat sini.

Beliau memilih untuk menternak itik kerana unggas itu tahan kepada serangan penyakit dan tidak banyak karenah untuk memeliharanya.

"Saya suka dengan ternakan itik ini kerana hasilnya (telur) boleh dipungut setiap hari berbanding ternakan lain seperti lembu, kambing, ayam daging dan ikan yang memerlukan tempoh tertentu," katanya.

Ternakan itik juga tidak memerlukan pembinaan reban seperti ternakan ayam, cuma sesebuah ladang itu harus mempunyai kawasan daratan dan kawasan berair untuk itik bermain.

ITIK SPESIES KHAKI CAMPBELL

Elly Yuza memulakan ternakan itik spesies "Khaki Campbell" di kawasan seluas 3.2 hektar berhampiran bekas lombong pada April lepas.

Beliau memulakan usaha dengan jumlah ternakan 6,000 ekor dan kini bertambah 32,000 ekor.

Kini, ternakannya menghasilkan 15,000 biji telur sehari dan jumlah itu akan terus meningkat apabila kesemua itiknya mencapai umur matang untuk bertelur.

Beliau dibantu 12 orang pekerja mengendalikan ladang berkenaan yang terletak agak jauh dari penempatan awam dan di kelilingi kebun getah dan hutan.

Sebanyak RM150,000 dibelanjakan bagi makanan itik berkenaan setiap bulan dan bagi memastikan itik peliharaannya membesar dengan baik dan mengeluarkan telur berkualiti, ladang itu memproses sendiri makanan berkenaan dengan bahan campuran seperti jagung, kacang soya dan beras hancur.

Pekerja akan memasukkan makanan yang dikisar itu ke dalam beberapa bekas di sekitar ladang berkenaan.

Sebuah traktor mini digunakan untuk membawa guni-guni berisi makanan itik untuk dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan itu.

Itik-itik berkenaan diberi makan dua kali sehari, katanya.

Elly Yuza berkata kaedah Efektif Mikro Organisme (EM) digunakan dalam pengurusan ladangnya bagi mengelakkan lalat dan pencemaran lain.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut memberi khidmat nasihat dan melawat ladang itu dua kali seminggu.

KUTIP TELUR

Apabila matahari beransur menerangi kawasan ladangnya setiap hari dengan bunyi suara riuh rendah itik-itik itu, pekerja Elly Yuza akan memasuki ladang untuk mengutip telur yang berselerak.

Mereka perlu melakukan kerja mengutip dengan berhati-hati agar tiada telur yang pecah dan mereka juga perlu melihat di kawasan berair kerana terdapat juga itik bertelur di situ.

Telur yang dikutip itu kemudian dikumpulkan di dalam sebuah bangsal untuk dibersihkan secara manual dan juga menggunakan mesin.

Telur yang dibersihkan daripada kotoran tanpa menggunakan air itu kemudian diisi ke dalam rak telur.

"Kami tidak boleh membersihkan telur ini menggunakan air kerana ia akan menjadi rosak, sebaliknya kami menggunakan kain kasar atau mesin pencanai untuk membuang kotoran yang melekat pada kulit telur," kata seorang pekerja, Che Ros Awit, 53.

Elly Yuza berkata melalui syarikatnya, Bella Projek Sdn Bhd, telur berkenaan dijual di seluruh negara.

TELUR MASIN

Syarikat ini juga menghasilkan telur masin organik.

Tanpa penggunaan bahan kimia, syarikat ini mementingkan kualiti dengan menggunakan garam mengikut sukatan yang ditetapkan.

Mesin yang dikendalikan dua atau empat pekerja, digunakan untuk membalut telur dengan tanah dan debu sekam padi yang dibakar.

Beliau berkata telur masin itu akan dimasukkan ke dalam kotak dan setiap kotak mengandungi 50 biji, sebelum dipasarkan.

Elly Yuza berkata syarikatnya juga bercadang menghasilkan produk hiliran berasaskan telur itik seperti kuih bahulu.

Katanya bagi itik yang tidak lagi produktif, dagingnya yang telah dimasak dengan menu tertentu, akan ditinkan dan dipasarkan.

"Produk ini ada pasaran luas di luar negara," katanya.

Selepas melihat potensi besar ternakan itik, Elly Yuza tidak menoleh ke belakang lagi, beliau mensasarkan untuk menambah ternakan kepada 64,000 ekor tahun depan.

-- BERNAMA

0 comments:

PENAFIAN/DISCLAIMER

© 2009 PKK Enterprise (PG 0209352-D), Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan PKK ENTERPRISE melainkan dinyatakan sebaliknya. PKK ENTERPRISE tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP